Thursday, December 31, 2009

Prinsip Perjuangan Macam Rojak Buat Penyokong Pas Makin Muak

Kuala Lumpur -- Penyokong Pas hari ini dilihat telah hilang kepercayaan terhadap perjuangan dan prinsip yang di perjuangkan oleh parti itu selama ini ekoran tercetusnya demonstrasi yang menuntut Pas keluar daripada Pakatan Rakyat.


Ketua Pemuda UMNO Seputeh, Mohd Razlan Rafii berkata rakyat sudah sedar, drama dan sandiwara yang dipentaskan oleh kepimpinan Pas yang sering bertolak ansur dengan Pakatan Pembangkang memperlihatkan parti itu mabukkan kuasa politik semata-mata.

Tegas beliau Pas perlu sedar, penyokong dan pendokong parti akan tetap bersama mereka sekiranya perjuangan yang dilaksanakan berpegang teguh kepada prinsip perlembagaan dan prinsip parti yang digagaskan sekian lama.

"Sebenarnya tidak kiralah parti mana, penyokong tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin yang tidak mempunyai prinsip.

"Pas hari ini sudah hilang kredibilitinya kerana sanggup berkompromi dengan DAP dan PKR yang sering kali dilihat bercangah dengan dasar-dasar yang hendak diperjuangkan oleh parti berkenaan.

"Lihat sahaja Hassan Ali, ditekan dan disiasat dan bakal diambil tindakan oleh Pas Pusat, hanya kerana ingin melaksanakan undang-undang syariah dalam kerajaan Selangor.

"Apa ertinya ada kuasa tapi bila nak digunakan, hidung kita ditarik dan tangan kita diikat, mulut dikunci", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, suasana itu cukup berbeza ketika kerajaan BN memerintah yang berteraskan kepada prinsip.

"UMNO dari dahulu sehingga sekarang tidak pernah mengubah dasar dan pendirian parti. Perlembagaan kita cukup jelas, berkongsi kuasa dan memartabatkan Agama, Bangsa Dan Negara.

"Bukan seperti Pas yang dahulunya janji nak tutup kilang arak sejurus sahaja memerintah Selangor, hari ini sudah setahun lebih, kilang yang dijanjikan nak ditutup masih lagi segar dan lebih memburukkan lagi bertambah lagi disko dan pusat hiburan berlipat kali ganda.

"Kedai-kedai arak dan disko haram, JAIS bebas menjalankan undang-undang dan menguatkuasakannya, tidak akan ada pihak menghalang atau berani mendesak untuk menahan operasi JAIS", ujarnya.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar agar tidak membuat tuduhan membuta tuli berhubung demonstrasi oleh penyokong Pas baru-baru ini.

"Saya nak ingatkan Mahfuz, jangan sedap mulut nak tuduh orang UMNO mendalangi demontrasi itu.

"Kalau kita seorang yang cerdik dan pandai, tidaklah kita persalahkan orang lain kerana masalah dalam keluarga, selesaikan dahulu masalah dalam keluarga anda dan jangan alihkan masalah hilang keyakinan penyokong Pas kepada UMNO", ujarnya.

Justeru tegas beliau lagi, penyokong serta pendokong parti tidak akan lari meninggalkan sebuah perjuangan sekiranya perjuangan yang dilaksanakan itu berpaksikan kepada prinsip.

"Ingatlah….penyokong kita akan tetap menyokong selagi kita adalah insan yang berpegang teguh kepada prinsip dan pendirian parti, kalau kita dah jadi rojak, kejap boleh, kejap tak boleh, mana ada manusia yang akan percaya kepada kita", katanya.

No comments:

Post a Comment